Sunday 7 July 2013

Antara Hadis2 Nabi S.A.W Tentang Iman

waaaa.....ari nie ase nak post bnyak2..hihi..sebulan tutup buku nie...
ya la kan...dalam kita melangkah terkadang kita diuji..dengan ujian yang terasa berat sehingga kita terduduk..menangis...peritnya terasa..tapi ketahuilah dan renungilah kembalik kedalam diri kerana mungkin air mata tika itu hadir kerana DIA mahu kita menjahit kembali sejadah iman yang kian terkoyak lantaran ada langkah-langkah yang tersasar dari keikhlasan dan semoga kita tabah dan ditetapkan iman.

1- Binaan Islam

Daripada Abdullah bin Umar r.a., Nabi s.a.w bersabda: "Islam itu dibina atas lima perkara: Mengakui bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya; mendirikan solat; menunaikan zakat; menunaikan haji ke baitullah; dan berpuasa di bulan Ramadhan."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


2- Cabang Iman

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Iman terdapat tujuh puluh tiga hingga tujuh puluh sembilan cabang - atau enam puluh tiga hingga enam puluh hingga enam puluh tujuh cabang - Kalimah Lailahaillah adalah yang paling afdal, membuang duri dijalan adalah yang paling rendah dan malu adalah salah satu cabang Iman."
( Riwayat Muslim )


3- Iman Yang Sebenar

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia lebih mencintaiku daripada bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )


4- Yakin Dengan Allah Untuk Istiqamah

Daripada Sufyan bin Abdullah al-Thaqofi, beliau berkata: Aku berkata: "Wahai Rasullullah! Katakan padaku suatu kata-kata yang tak perlu lagi aku bertanya kepada sesiapa mengenainya selepas engkau." Baginda bersabda: "Katakanlah: ‘Aku beriman dengan Allah’, kemudian istiqamahlah ( tetap teguh diatas jalan yang betul)."
( Riwayat Muslim dan Ahmad )


5- Penilaian Allah Terhadap Hamba-Nya

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad atau rupa bentuk kamu tetapi Allah melihat kepada hati-hati kamu."
( Riwayat Muslim )


6- Merebut Peluang Untuk Beramal

Daripada Abdullah bin Abbas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara: Muda sebelum engkau tua, sihat sebelum engkau sakit, kaya sebelum engkau miskin,kelapangan sebelum engkau sibuk, hidup sebelum engkau mati."
( Riwayat al-Hakim )


7- Nikmat Yang Boleh Memperdaya Manusia

Daripada Abdullah bin Abbas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Dua nikmat yang ramai manusia terpedaya dengannya: Sihat dan kelapangan."
( Riwayat al-Bukhari )


8- Amalan Semata-mata Bukan Penyelamat

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Amalan kamu tidak akan menyelamatkan seseorang pun daripada kamu." Seorang lelaki berkata: "Tidak juga engkau, wahai Rasullullah." Baginda bersabda: "Begitu juga aku, melainkan Allah meliputiku dengan rahmat daripada-Nya; akan tetapi lakukanlah yang betul."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
Keterangan:- Kata al-Rafi: Tidak sepatutnya sesorang itu bergantung dengan amalan sendiri untuk mencari pelepasan dan meminta ketinggian darjat, hanyasanya ia melakukan amalan dengan taufiq daripada Allah dan meninggalkan maksiat dengan pemeliharaan Allah. Maka semua itu adalah kelebihan dan rahmat-Nya.
   (Fath al-Bari)


9- Ketaatan Yang Dilarang

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Tiada ketaatan kepada makhluk pada menderhakai Allah ‘Azzawajalla."
( Riwayat Ahmad )


10- Mukmin Sebenar

Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa bersukacita dengan kebaikannya dan berdukacita dengan keburukannya, ia adalah Mukmin."
( Riwayat Ahmad dan al-Hakim )
Keterangan:- Itulah apa yang doleh orang yang sempurna imannya. Adapun orang munafik samam sahaja baginya kebaikan dan keburukan.
  (Tuhfah al-Ahwazi)


11- Balasan Takut Kerana Allah

Daripada seorang lelaki Badawi r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya engkau tidak meninggalkan sesuatu keranan takutkan Allah ‘Azzawajalla melainkan Allah memberikan suatu yang lebih baik daripada perkara itu."
( Riwayat Ahmad )


12- Pengakhiran Suatu Ketentuan

Daripada Sahl bin Sa’idi r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya ketentuan amalan adalah dengan yang terakhir."
( Riwayat al-Bukhari )
Keterangan:- Kata Ibn Battal: Terdapat hikmah yang tinggi seseorang hamba tidak mengetahui amalan terakhirnya. Andaikata seseorang mengetahui amalan terakhirnya, jika ia ditentukan selamat, maka ia merasa takjub dan malas beramal. Jika ia ditentukan binasa, maka ia akan menambah perbuatan jahatnya. Oleh itu dirahsiakan amalan terakhir seseorang itu supayaia merasa takut dan sentiasa berharap.
        (Fath al-Bari)


13- Jalan Syurga Dan Neraka

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Jalan ke syurga dibentangi dengan perkara yang tidak disukai manakala jalan ke neraka dibentangi dengan syahwat."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
Keterangan:- ‘Syahwat’ yang diharamkan seperti arak, zina, melihat wanita ajnabi, mengumpat, melakukan suatu yang melalaikan dan sebagainya. Tidak termasuk dalam hadis ini syahwat yang diharuskan, tetapi makruh membanyakkannya kerana dikhuatiri boleh membawa kepada suatu yang haram, mengeraskan hati, meninggalkan ketaatan dan sebagainya.

(Tuhfah al-Ahwazi)


14- Ganjaran Untuk Orang Soleh

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Allah ‘Azzawajalla berfirman: ‘Aku sediakan untuk hamba-Ku yang soleh suatu yang tidak pernah dipandang dengan mata, tidak pernah didengar dengan telinga dan tidak pernah terlintas dihati manusia."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )


15- Pohon Syurga

Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sejenis pohon, jika seorang penunggang melaluinya ia akan terus berada dibawah naungan pohon itu selama seratus tahun belum melepasinya."

( Riwayat al-Bukhari )

No comments:

Post a Comment